{"content":"KUCHING: Kajian akademik di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) perlu dirancang secara menyeluruh dan berorientasikan impak bagi menyokong pembentukan dasar pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.\n\nTimbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, bakal pemegang PhD merupakan kumpulan pemikir penting yang mampu membantu memperkukuh sistem pendidikan negara.\n\nBeliau menggalakkan mereka melihat pengajian PhD sebagai satu sumbangan strategik kepada pembangunan pendidikan, khususnya dalam melahirkan pemikiran baharu yang relevan dengan cabaran semasa.\n\n“Saya mohon kepada bakal pemegang PhD yang menjalankan kajian tesis berkaitan pendidikan agar tidak menumpukan kepada aspek pedagogi, kaedah pengajaran dan dasar semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada nilai kemanusiaan yang semakin terhakis akibat pengaruh teknologi dan sebagainya,” katanya.\n\nBeliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan serta Majlis Makan Malam Program Khas PhD Model Rakan Strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)- Terbilang Academy (Orientasi, Kolokium & Bengkel Penulisan Jurnal) di Institut Aminuddin Baki, di sini, pada Sabtu.\n\nMenjelas lanjut, Datuk Abdullah berkata, pendidikan berkualiti bukan hanya melahirkan individu berkelulusan tinggi, tetapi individu yang memiliki kecerdasan emosi, adab serta nilai murni sebagai warganegara yang bertanggungjawab, selari dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia.\n\nDalam pada itu, beliau menggalakkan agar kajian pendidikan turut menilai kesan teknologi digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) daam dunia pendidikan.\n\nAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menekankan kepentingan membangunkan model pendidikan yang bersesuaian dengan konteks tempatan, termasuk realiti pendidikan di kawasan luar bandar, bagi memastikan usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dilaksanakan secara berkesan.\n\nMenurutnya, hasil kajian PhD yang menyeluruh dan berkualiti berpotensi menjadi rujukan penting kepada kerajaan dalam banyak perkara termasuk dalam menggubal polisi bagi memperkukuh dasar pendidikan.\n\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Eksekutif Terbilang Academy Sarawak Merangkap Penyelaras Program Khas Rakan Strategik Pasca Siswazah Terbilang Academy Sarawak UPSI  Dr. Ishak Johari serta Ketua Jabatan Fakulti Sains Komputer & META-Teknologi UPSI Dr. Hishamudin Abdul Rahman.-EDISI UKAS\n\nDisediakan oleh: Nur Nabilla  \nFoto: George S. Embie\n\n[https://terbilang.edu.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Video-2026-01-29-at-07.34.06.mp4](https://terbilang.edu.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Video-2026-01-29-at-07.34.06.mp4)\n\nPost navigation\n---------------","original_url":"https://terbilang.edu.my/kajian-phd-perlu-dirancang-secara-menyeluruh-berorientasikan-impak-bagi-sokong-pembentukan-dasar-pendidikan/","path":"/kajian-phd-perlu-dirancang-secara-menyeluruh-berorientasikan-impak-bagi-sokong-pembentukan-dasar-pendidikan","title":"Kajian PhD Perlu Dirancang Secara Menyeluruh, Berorientasikan Impak Bagi Sokong Pembentukan Dasar Pendidikan – TERBILANG ACADEMY SARAWAK","page_type":"page","word_count":332,"key_claims":[],"content_summary":null,"topics":[],"author":null,"published_date":null,"price":null,"currency":"MYR","parent_profile":{"id":"72accbf9-5a02-428c-b138-fce20e1683b3","slug":"terbilang-edu-my","name":"TERBILANG ACADEMY SARAWAK &#8211; Melahirkan Insan Terbilang","url":"https://terbilang.edu.my/"}}